LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), DCP Victor Sanjos mengingatkan masyarakat agar berhati-hati ketika menulis tajuk atau keterangan agar tidak disalah tafsir.
Peringatan tersebut dibuat susulan tular sebuah video yang dimuat naik di media sosial dengan keterangan atau tajuk berkaitan penculikan di Pulau Mabul, Semporna.
Katanya, tajuk video berkenaan tidak memberi gambaran sebenar dan beliau berpendapat bahawa ianya hanya untuk menarik minat pembaca.
“Saya telah mengkaji dan mendapati tidak apa yang salah dengan apa yang dia cakap tetapi kalau ada pandangan, pendapat atau komen mengatakan bahawa dia hampir diculik, itu tidak berlaku.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua masyarakat agar berhati-hati ketika membuat tajuk atau kepsyen. Kita kena pandai menggunakan bahasa agar tidak disalah tafsir oleh mana-mana pihak,” katanya.
Victor juga berharap agar akan datang, mereka yang datang ke Zon Selamat Sabah Timur (Ess Zone) yang ingin menarik, berkongsi pengalaman atau promosi, biarlah menggunakan perkataan yang sesuai.
Beberapa hari lepas, sepasang suami isteri memuat naik sebuah video dengan tajuk “I almost got kidnapped by pirates. The fisherman might have been informants for the pirates as they asked me to go with them in their boat”.
Video berdurasi 9 minit 40 saat tersebut mengandungi pengalaman mereka ketika berada di Pulau Mabul, Semporna.
Terdahulu, Victor telah melepaskan peserta program “Sail Malaysia: Passage To the East 2023” di W Bay Payang, Selasa.