Kota Kinabalu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan kerana mengulangi kesalahan mengambil syabu.
Mohammad Ali Kaimah mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, kepada pertuduhan terhadapnya.
Dia didapati mengambil dadah itu pada 10 Mei 2022 selepas air kencingnya diuji positif dadah di balai polis di sini.
Mohammad mempunyai beberapa rekod sabitan kerana mengambil dadah itu.
Kesalahan di bawah Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan tujuh tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selepas menjalani hukuman penjara itu, mahkamah memerintahkan Mohammad diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Dalam kes lain, dua pendatang tanpa izin masing-masing dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Muhaimin Abdul dan Haiman Syazwani Usin mengaku secara berasingan kepada pertuduhan terhadap mereka.
Mereka masing-masing ditahan di Beaufort dan kawasan Bandaraya pada 31 Julai dan 10 Ogos tahun ini selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri kepada polis.
Mahkamah memerintahkan pendatang tanpa izin itu menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap.
Mereka juga diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara, untuk data biometrik mereka direkodkan sebelum dihantar pulang.