SERAMAI 799,782 rakyat Sabah yang memerlukan akan mendapat manfaat daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) membabitkan RM696.3 juta, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Inisiatif Kerajaan Persekutuan membabitkan peruntukan sehingga RM8 bilion itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup yang dihadapi kira-kira 8.7 juta penerima di seluruh negara secara berperingkat.
Di Sabah, RM494 juta telah ditunaikan dalam tiga fasa setakat ini, manakala baki RM202 juta dalam fasa seterusnya November ini.
“STR akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima secara berperingkat. Penerima yang tidak mempunyai akaun bank boleh menunaikan bantuan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember.
“Bagi memastikan bantuan disalurkan kepada penduduk di kawasan luar bandar, Kerajaan akan mengadakan program tunai di daerah berkaitan mulai 3 Ogos sehingga pertengahan September ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Kinabalu pada Ogos 8, sebagai jawapan kepada Adun
Kapayan Jannie Lasimbang yang bertanyakan berapa ramai pengundi Kapayan telah mendapat manfaat daripada bantuan itu dan mengapa beberapa permohonan untuk bantuan itu tidak diluluskan.
Hajiji berkata terdapat 1,345 penerima di kawasan DUN Kapayan membabitkan peruntukan kira-kira RM1 juta.
Beliau berkata permohonan STR akan ditolak sekiranya pemohon gagal memenuhi syarat kelayakan.
“(Ia akan ditolak) jika pemohon mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM5,000 (setiap isi rumah dan individu warga emas bujang) serta lebih RM2,500 untuk bujang,” katanya.
Tambahnya, kegagalan menyatakan status perkahwinan/cerai dalam dokumen yang dikemukakan serta gagal memenuhi status bujang atau status pelajar sepenuh masa juga akan menyebabkan permohonan ditolak.
Mengenai pemohon yang mungkin tercicir, Hajiji berkata mereka digalakkan untuk memohon semula bantuan tersebut.
Menjawab soalan tambahan Adun Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang bertanya sama ada senarai penerima adalah maklumat sulit dan jika ia boleh dibekalkan kepada Adun, Hajiji berkata ia bukan rahsia dan boleh didedahkan kepada umum.
“Data yang digunakan adalah daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kebajikan dan yang disenaraikan di bawah e-Kasih.
“Maklumat ini boleh dimaklumkan kepada wakil rakyat atau orang ramai dan mereka boleh tahu jika ada penerima yang terlepas pandang,” kata Hajiji.