BEAUFORT: Adun Lumadan, Datuk Ruslan Muharam akan mengadakan Program Bantuan Lesen Motosikal (Kelas B2) Percuma (BLMP) untuk golongan belia dari kalangan B40 di kawasan itu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu berkata, program yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat itu bertujuan membantu belia yang tidak mampu dari segi kewangan.
“Kita faham ramai yang tidak mampu dari segi kewangan untuk lesen ini hingga menyukarkan mereka menunggang motosikal sama ada untuk bekerja atau mencari rezeki.
“Justeru, saya mengambil inisiatif melaksanakan BLMP yang terbuka untuk semua belia B40 di Lumadan ini.
“Saya juga akan berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Beaufort untuk pastikan program ini dipermudahkan, sekali gus direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Beaufort di Kompleks Sukan Daerah Beaufort, di sini, Khamis lepas.
Sehubungan itu, Ruslan menggesa semua pemimpin akar umbi di Lumadan, khususnya Jawatankuasa Pembangunan dan Kesejahteraan Kampung (JPKK) Lumadan, supaya segera mengenal pasti belia golongan B40 untuk disenaraikan dalam program itu.