Kota Kinabalu: Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi, memperuntukkan kira-kira RM1.2 juta untuk membiayai Survei Populasi Orang Utan di Sabah bagi tempoh dua tahun, bermula tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Mad Zaidi Mohd Karli @ Sukari berkata kajian itu penting untuk dilaksanakan bagi mendapatkan jumlah populasi terkini hidupan liar berkenaan.
“Kajian itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat untuk kita mengetahui fakta sebenar berkaitan haiwan dilindungi berkenaan yang menjadi ikonik Sabah seperti aktiviti dan lokasinya.
“Walaupun sudah ada pelbagai kajian sebelum ini, kita akan jalankan lagi kajian terbaharu dan ingin lihat bagaimana trend populasi ini. Jadi, apabila ada kajian komprehensif dijalankan, kita ada data yang boleh dikongsikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Orang Utan Sedunia bertemakan “Mereka Juga Warga Malaysia” atau The Other Malaysians di Zoo Negara, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Acara itu disambut pada 19 Ogos setiap tahun.
Sambutan Hari Orang Utan Sedunia itu ialah kesinambungan kepada tajaan berjumlah RM1.1 juta oleh industri sawit negara melalui MPOGCF bagi membiayai Projek Menaik Taraf Pameran Orang Utan Borneo di Zoo Negara, tahun lepas.
“Tujuan kita menyambutnya adalah untuk menguar-uarkan kepada semua bahawa kita bukan sahaja memberi keutamaan kepada industri sawit, tetapi turut memelihara biodiversiti hidupan liar antaranya Orang Utan.
“Kita mahu menangkis dakwaan pihak luar bahawa industri sawit ialah satu industri yang mengancam kepada hidupan liar,” katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, Mad Zaidi berkata MPOGCF, yayasan di bawah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong usaha pemuliharaan Orang Utan dengan mengutamakan produk sawit mampan yang mendapat pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Ancaman terbesar populasi Orang Utan ialah aktiviti pemburuan haram dan Orang Utan Borneo dikategorikan haiwan kritikal terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) dengan populasi dianggarkan berjumlah 104,700 ekor,” katanya.
Mad Zaidi berkata laporan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada 2019, berdasarkan tinjauan ke atas sarang Orang Utan dalam tempoh Mei 2014 hingga Mac 2017 mendapati populasi Orang Utan di Sabah adalah stabil selama 15 tahun.
Menurutnya, hasil kajian sama bagaimanapun mendapati populasi Orang Utan Borneo di hutan yang dikelilingi ladang sawit menunjukkan trend penurunan.
Beliau berkata berdasarkan hasil kajian WWF itu, industri sawit Malaysia menerusi MPOGCF menjalankan beberapa aktiviti pemuliharaan terhadap haiwan yang dilindungi itu.
“Antaranya program penanaman sejuta pokok untuk rehabilitasi habitat Orang Utan melibatkan kawasan seluas 2,500 hektar di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua di Lahad Datu.
“Kita juga membiayai Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk menyelamatkan dan memindahkan Orang Utan ke habitat selamat. Sebanyak 61 Orang Utan berjaya diselamatkan WRU dalam tempoh 2010 hingga 2020,” katanya.
Mad Zaidi berkata semua usaha itu ialah bukti dan komitmen industri sawit negara menambah populasi Orang Utan dengan sokongan kerajaan melalui kementerian dan MPOGCF.
“Usaha ini membuktikan industri sawit Malaysia yang merupakan sektor utama dalam agrikomoditi negara dengan nilai dagangan RM268.1 bilion pada 2022 bertransformasi kepada industri mampan, mesra alam sekitar dan hidupan liar selain memberi kesan paling minimum kepada ekosistem semula jadi,” katanya.