Kota Kinabalu: Atlet Sabah, Joyce Heng dan Flavia Mannie Luntak menyumbangkan dua pingat emas untuk kontinjen Malaysia pada pertandingan Strongmania yang berlangsung di Stadium Akuatik GBK di Jakarta pada Sabtu lalu.
Joyce mengungguli kategori terbuka wanita dengan sejumlah 40 mata manakala Flavia dengan 38 mata memenangi kategori bawah 65kg wanita.
Pasukan negara memenangi sejumlah lima emas dalam pertandingan itu.
Pemenang lain ialah Ida Farida dari Labuan dalam kategori bawah 75kg wanita, dan dua atlet dari Selangor, Faizal Omar dan Arif Khalil, masing-masing dalam acara master lelaki dan lelaki pro bawah 95kg.
Sementara itu, Joyce yang telah memenangi kejuaraan keseluruhan pada pertandingan Singapore Strongest yang diadakan pada Jun dan acara Kedah Strongest pada Mac berkata sasaran seterusnya ialah Arnold Europe Strongest Woman Championship yang akan berlangsung di Madrid, Sepanyol pada 13-15 Oktober.