TAWAU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin atas pertuduhan mengedar 7.4 kilogram (kg) dadah jenis syabu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Ahmad, 22, selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Lelaki itu yang berasal dari Bulukumba, Indonesia dan memiliki pasport, didakwa mengedar dadah di kawasan Jeti Awam Pelabuhan Tawau kira-kira jam 10.10 pagi 8 Ogos lalu.
Mahkamah menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
ASP Nur Intan Jamrin tampil sebagai pegawai pendakwa, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan berita penahanan suspek yang menggunakan taktik menyembunyikan dadah dianggarkan bernilai RM444,400 di dalam sebuah tong cat yang ditutup dengan dua bungkus tepung di atasnya, bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Tong cat itu pula disumbat di dalam dua karung guni.
Polis percaya dadah tersebut dibawa masuk ke daerah ini untuk transit sebelum diseludup keluar dari Tawau.