Kota Kinabalu: Adalah tidak berasas untuk menyalahkan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung persekitaran kotor di Semporna dan meminta beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat, kata Timbalan Presiden Parti Warisan Datuk Jaujan Sambakong.
Beliau menjawab gesaan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Zulkarnain Mahdar untuk Shafie berundur berikutan amaran Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing untuk mengeluarkan notis merah terhadap Semporna.
Kenyataan Tiong itu dibuat berikutan beberapa kes keracunan makanan di sebuah resort di Semporna dan keadaan persekitaran yang kotor.
“Tidak perlu Shafie meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan Adun (Senallang) kerana perkara berkaitan kebersihan, perlindungan alam sekitar dan kesihatan untuk tujuan pelancongan adalah di bawah kawalan kawal selia Kerajaan Negeri yang diterajui GRS.
“Perkara ini juga telah diakui oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew. Pada 21 Ogos lalu, beliau sendiri menyatakan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan di Semporna adalah di bawah seliaan Majlis Daerah Semporna dan Pejabat Daerah Semporna.“Taman Laut Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan berada di bawah kawalan Taman Sabah.
“Christina juga menyatakan bahawa satu laporan telah disediakan oleh Majlis Daerah Semporna pada 18 Ogos yang menjelaskan bahawa kejadian keracunan makanan yang dibangkitkan oleh Tiong adalah kes terpencil,” kata Jaujan dalam satu kenyataan, Rabu.
Jaujan menambah, laporan itu juga menyatakan secara purata pengunjung telah memberikan maklum balas positif yang menunjukkan tahap kebersihan Semporna telah bertambah baik.
“Justeru, sidang media yang diadakan oleh Zulkarnain untuk mendesak Shafie meletakkan jawatan hanyalah gimik politik bertujuan mempopularkan dirinya dan menunjukkan kepada kita semua betapa ceteknya pengetahuan Zukarnain tentang sistem pentadbiran negeri,” katanya.
Terdahulu, Zulkarnain mengadakan sidang media untuk menggesa Shafie meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan Adun serta menyalahkan beliau (Shafie) atas keadaan kotor di Semporna.
Zulkarnain pernah merungut isu sampah dan perkhidmatan hospitaliti di resort di kawasan itu berkata “salah satu punca kegagalan pengurusan sisa di Semporna adalah kerana Shafie Apdal tidak berfungsi dengan baik”.