KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menafikan cadangan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menjadi urusan negeri tanpa peranan komponen kerajaan dan pembangkang yang berpusat di semenanjung. Beliau berkata, Kerajaan Sabah adalah kerajaan perpaduan yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah, justeru, semua komponen kerajaan perpaduan ini termasuk Barisan Nasional (BN), akan bersama pada PRN akan datang.
“Saya ingin menyatakan bahawa dalam pilihan raya akan datang, kita berada dalam kerajaan perpaduan, termasuk PH di Sabah. Jadi kita tidak boleh
berpisah dengan rakan PH dan lain-lain termasuk BN.
“Sebab kita nak bangunkan Sabah dan rakyatnya. Cukuplah terlalu banyak berpolitik di sana sini,” katanya selepas Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Jabatan Pendidikan Sabah 2023 di Magellan Sutera, Kota Kinabalu, pada 17 Ogos.
Yong mencadangkan parti-parti yang berpangkalan di semenanjung untuk tidak bertanding pada PRN akan datang dan agar GRS bertanding di semua 73 kerusi DUN.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata itu adalah pandangan peribadi Yong.
“Dalam GRS kita ada tujuh parti komponen dan kita masih belum membincangkan perkara ini kerana pilihan raya akan datang masih jauh, masih ada dua tahun lagi.
“Sekarang ini kita fokus untuk membangunkan negeri dan membantu rakyat kita, menyelesaikan masalah bekalan air, masalah bekalan elektrik dan sebagainya. Ini adalah fokus dan tujuan utama kami sekarang.
“Tetapi saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Sabah diterajui oleh GRS dan juga PH Sabah. Kami amat berterima kasih kepada PH. Jadi bagi
saya, ini adalah isu yang perlu kita bincangkan secara menyeluruh,” katanya.
GRS terdiri daripada Gagasan Rakyat, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), SAPP, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu(Usno), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).
Hajiji juga berkata Kerajaan Negeri mahu Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan di Sabah dan Kerajaan Negeri akan membantu kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat Sabah terutamanya golongan muda supaya mereka cemerlang dalam pelajaran.