KERAJAAN Negeri memperuntukkan RM15 juta bagi menyokong dan memperkasa Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Selain itu, katanya, sejumlah RM6.17 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan untuk mempergiatkan promosi produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa.
Menurut Hajiji, pensijilan pengurusan keselamatan makanan yang dipanggil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Halal diperkenalkan tahun ini bagi melayakkan produk IKS Sabah bersaing di peringkat antarabangsa.
“Sejumlah RM7.1 juta turut diagihkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) bagi meneruskan usaha
menyedia dan membangunkan premis
pernigaan, kedai-kedai sosio-ekonomi dan lain-lain program keusahawanan tahun ini,” katanya.
“Justeru, saya mahu usahawan merebut peluang yang disediakan kerajaan, termasuk terus meningkatkan ilmu dan kemahiran agar produk mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Keusahawanan dan Kerjaya (SabahFEC) 2023 Zon Pantai Timur di dataran Majlis Perbandaran Tawau, di Tawau pada 12 Ogos.
Ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Karnival itu dihoskan oleh Biro Keusahawanan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dengan kerjasama Persatuan Double A Martial Arts Tawau.
“Justeru itu, pembangunan IKS terus ditumpukan sebagai industri sokongan dan pemangkin kepada sektor pembuatan.
Penglibatan pelbagai pihak termasuk Yayasan Sabah dan syarikat swasta seperti Petronas telah banyak membantu syarikat swasta di Sabah,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan ekonomi negeri dan rakyat melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya selepas penularan pandemik Covid-19.
“SabahFEC 2023 akan membantu pencari kerja dan melengkapkan mereka dengan kemahiran diperlukan selain bantuan pembiayaan untuk usahawan daripada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.
Hajiji optimis karnival itu merupakan platform terbaik untuk pencari kerja dan usahawan memperkasakan diri dari segi ekonomi, mendapatkan maklumat bantuan geran daripada agensi terlibat dan mempelajari kemahiran pengurusan kewangan selain peluang kerjaya.
Sehubungan itu, Hajiji menyarankan setiap pencari kerja khususnya golongan belia agar memanfaatkan setiap kemudahan, program dan platform pekerjaan serta peluang pekerjaan yang disediakan oleh Kerajaan.
“Pencari kerja perlu memanfaatkan Sabah Jobs Portal dan MyFutureJobs untuk menghubungkan mereka dengan majikan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
“Ini akan membolehkan mereka menyedari peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan lain yang ditawarkan.
“Sabah Jobs Portal adalah khusus untuk rakyat Sabah dan jawatan kosong yang diiklankan adalah peluang dari seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau juga mahu SabahFEC diperluaskan ke zon lain di negeri ini supaya lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat.