PAPAR: Isu bekalan air yang berlarutan di Sabah dijangka dapat diselesaikan melalui pelaksanaan projek bekalan air Empangan Ulu Padas di Tenom bernilai kira-kira RM4 bilion yang dijadualkan bermula Oktober ini dan siap pada 2027.
Apabila siap kelak, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, empangan yang turut menjana hidroelektrik itu mampu membekalkan air sehingga 6,000 juta liter sehari (MLD).
Beliau berkata projek itu bertujuan mengatasi masalah air jangka panjang terutama di kawasan pedalaman dan pantai barat Sabah dengan kapasiti yang mampu bertahan antara 80 hingga 100 tahun.
“Kita akan membina Empangan Ulu Padas di Tenom sebagai perancangan jangka panjang dan Insya-Allah, pecah tanah projek itu akan diadakan pada Oktober ini.
“Ia adalah projek usaha sama antara kerajaan negeri melalui Sabah Energy Corporation dan sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata projek empangan Ulu Padas yang menjana tenaga elektrik juga akan meningkatkan penjanaan tenaga yang dijangka dapat menampung keperluan bekalan kuasa yang semakin meningkat di negeri ini.
Hajiji berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Loji Rawatan Air Kogopon Fasa II di tapaknya, di Kogopon, dekat sini pada Jumaat.
Terdahulu beliau telah diberi taklimat mengenai Loji Rawatan Air Kogopon yang kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 40MLD dan projek menaik taraf itu akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 40MLD lagi.
Antara skop projek ialah pembinaan rawatan baharu (kapasiti 40MLD), Takungan Pengimbang berkapasiti 10 juta liter, tiga tangki agihan di Kimanis, Kg Nagapas (Papar) dan Kg Ketiau
(Putatan) dan naik taraf pengambilan air.
Hajiji berkata projek Loji Rawatan Air Kogopon yang melibatkan kos RM379 juta, akan menjalani kerja-kerja menaik taraf di bawah pembangunan Fasa 2 untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 40 JLH kepada 80 JLH yang boleh bertahan sehingga 2040 apabila siap.
Beliau berkata kerja-kerja pembinaan projek ini telah bermula bulan ini (Ogos) dan akan siap pada Ogos, 2026 dengan memanfaatkan kira-kira 160,000 pengguna di Putatan, Kinarut, Lok Kawi dan sekitarnya.
“Projek itu akan meningkatkan liputan bekalan air bagi menampung permintaan industri, khususnya Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) dan Presint Agro-Industri Sabah (SAIP) di bawah Koridor Pembangunan Sabah.
“Ia akan membantu menangani masalah kekurangan air di Selatan Pantai Barat seperti dari Kimanis, Papar, Kinarut, Putatan dan Lok kawi,” katanya.
Hajiji berkata beliau juga telah mengarahkan Jabatan Air memantau dengan ketat kemajuan projek ini bagi memastikan ia dapat dilaksanakan mengikut jadual tiga tahun dari sekarang.
Beliau memberi jaminan projek itu akan dijalankan mengikut jadual bagi memastikan tiada lagi kelewatan projek membabitkan kepentingan rakyat khususnya berkaitan bekalan air.
“Saya tidak mahu melihat projek itu tertangguh dan rakyat akhirnya dinafikan bekalan air,” katanya.
Ketika ini, kebanyakan kawasan di Sabah menghadapi isu air termasuk di ibu negeri berikutan kekurangan bekalan daripada loji rawatan air sedia ada, selain masalah air tanpa hasil (NRW) yang tinggi.
Mengenai masalah bekalan air di Tuaran sehingga ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), beliau berkata ia dijangka dapat diselesaikan pada penghujung tahun ini sebaik sahaja isu tumbuh gigi yang menjejaskan projek Loji Rawatan Air Telibong II ditangani.
Hajiji memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sedang berusaha sedaya upaya untuk menangani masalah air termasuk di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.
Sementara itu, Hajiji berkata terdapat satu lagi projek empangan dalam perancangan kerajaan negeri iaitu Empangan Papar atau Kaiduan yang kini masih dalam peringkat kajian kemungkinan.
Projek yang dirancang lebih 10 tahun itu, katanya perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah air di Kota Kinabalu dan sekitarnya dapat diatasi termasuk memenuhi keperluan pelabur untuk membuka perniagaan di negeri ini.
“Kami juga berhasrat untuk melaksanakan projek ini supaya masalah kekurangan air tidak lagi berlaku kerana setiap pelabur yang ingin datang ke Sabah, mereka akan bertanya tentang kemampuan kami membekalkan air dan elektrik.
“Kami akan mengusahakan kedua-dua bekalan (utiliti) ini dan untuk makluman, Suruhanjaya Tenaga akan menyerahkan kuasa kepada Sabah mulai 1 Januari tahun depan,” kata Hajiji.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak Hal Ehwal dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya, dua pembantu menterinya Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik , Adun Kawang merangkap Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Limbahau Datuk Johnny Mositun, Pengarah Jabatan Air Sabah Suhaimi Asbullah, Pegawai Daerah Papar Mohd Fuad Abdullah serta pegawai lain.