Kota Kinabalu: Rayuan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Tuaran dan Tenom, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Tiga ahli panel mahkamah tertinggi itu, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang, dalam keputusan sebulat suara, menolak setiap rayuan dengan kos.
Mahkamah telah mengekalkan keputusan mahkamah pilihan raya dan memerintahkan kos RM50,000 dibayar untuk responden iaitu Ahli Parlimen (MP) Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin.
Kos RM50,000 lagi untuk responden lain dalam rayuan masing-masing.
Bagi Tuaran, ketua penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai gagal dalam rayuannya terhadap calon Upko iaitu komponen PH, Madius yang mengekalkan kerusi Tuaran.
Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul, Andi Razalijaya A Dadi, Norfauzani Mohd Nordin bersama Peguam Persekutuan Safiyyah Omar dan Mohd Ashraf Abd Hamid bertindak bagi Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sementara itu, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony gagal dalam rayuannya terhadap calon Bebas, Riduan.
Peter diwakili peguam Frederick Chang dan Syaiful Sufiyyan Sidin.
Riduan diwakili peguam Datuk Tengku Ahmad Fuad Burhanuddin, Wilson Chang Khai Sim, Syed Anwar SH Abdullah, dan Elton John.
Tiga lagi responden diwakili oleh SFC Donald Joseph Franklin, Asliza Ali, Mankiranjit Kaur Mehinder Singh, dan Peguam Persekutuan Barath Manian.