Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 41 tahun yang merogol adik iparnya yang bawah umur, dipenjara 10 tahun dan dikenakan tiga sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki itu, yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.
Lelaki itu telah merogol remaja berusia 15 tahun dan sembilan bulan itu pada pukul 2 pagi 9 Jun tahun ini di sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Papar.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap.
Dalam menjatuhkan hukuman itu, mahkamah telah mempertimbangkan kepentingan awam, fakta kes dan kepentingan mangsa memandangkan kes itu telah berlaku beberapa kali.
Mahkamah juga menyatakan pegawai perubatan mengesahkan terdapat koyakan lama selaput dara dan tertuduh harus diasingkan daripada mangsa buat sementara waktu.
Mahkamah berharap hukuman itu akan bertindak sebagai pengajaran dan penghalang kepada tertuduh dan orang ramai secara amnya kerana kesalahan seksual semakin berleluasa pada masa kini.
Semasa rayuan, lelaki yang tidak diwakili itu meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia mempunyai dua anak untuk dijaga serta ibu bapanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan kes itu berleluasa pada masa kini, dengan menyatakan bahawa untuk bulan ini sahaja terdapat banyak kesalahan seksual yang dibawa ke mahkamah.
Tambahnya, mangsa adalah remaja dan kakak kandungnya merupakan isteri tertuduh.
Mahkamah diberitahu bahawa kejadian itu terbongkar apabila ibu mangsa bertanya kepada mangsa, kenapa dia bertemu dengan abang iparnya pada tengah malam.
Mangsa hanya mendiamkan diri tetapi apabila dipaksa ibunya barulah mangsa mendedahkan dia dan lelaki itu sudah beberapa kali mengadakan hubungan seks dan kali terakhir pada 9 Jun lalu.
Siasatan mendapati pada hari tersebut, lelaki itu telah memasuki bilik mangsa melalui tingkap bilik dan melakukan hubungan seks dengan mangsa.
Susulan laporan polis, lelaki itu ditahan pada 18 Ogos tahun ini dan mangsa dirujuk ke hospital di mana pegawai perubatan mengesahkan terdapat koyakan lama pada selaput daranya.