Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan memperkenalkan skim baharu khas untuk usahawan Sabah dan Sarawak.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, Skim Geran Usahawan Orang Asal Sabah dan Sarawak itu bertujuan memperkasakan usahawan-usahawan di kedua-dua negeri itu.
“Ini juga selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan harus ada tumpuan khusus kepada masyarakat Melayu dan juga masyarakat anak negeri di Sabah dan Sarawak," kata Ewon dalam kenyataan media hari ini.
“Saya ambil itu sebagai satu punca kuasa untuk saya perkenalksn skim membantu usahawan di Sabah dan Sarawak.
“Kita mulakan dengan mewujudkan satu kuota daripada RM100 juta tambahan peruntukan yang telah diluluskan dan disalurkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada SME corp."