TAWAU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masih terdapat segelintir orang yang cuba memperkecil-kecilkan atau memperlekeh slogan Sabah Maju Jaya yang dipinjam daripada Jata Negeri Sabah.
Bagi beliau, memperlekeh cogan kata Sabah Maju Jaya umpama memperlekeh usaha dan perjuangan para pemimpin dan pejuang masa silam.
“Perlu juga diingat, bahawa Gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, bukanlah suatu retorik semata-mata. Kedua-dua konsep ini sudah dirangka dengan teliti demi mencapai kemajuan yang hakiki untuk negara kita Malaysia dan Negeri Sabah,” katanya.
Menurut Hajiji, antara bukti kejayaan negeri melalui Pelan Pembangunan SMJ ialah pencapaian dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah berjaya mencapai rekod tertinggi dalam sejarah.
“Pada tahun lepas, perdagangan Sabah bernilai RM118.1 bilion berbanding RM87.2 bilion pada tahun 2021 dan peningkatan 35.4 peratus ini dipacu pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini,” katanya.
Tambah beliau, Gagasan Malaysia Madani dan Pelan Pembangunan SMJ adalah menjurus kepada matlamat untuk mencipta kemakmuran dan kesejahteraan demi kebajikan dan kebahagiaan seluruh rakyat.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Forum Malaysia Madani: Keharmonian Dalam Kepelbagaian, Pelaksanaan WAM2CARE Peringkat Zon Tawau dan Upacara Menandatangani MoU Antara Usia dan Ikdar di Dewan Masyarakat Tawau, pada Ahad.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerjasama antara pihak kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diteruskan dalam memberi penjelasan berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan Konsep Sabah Maju Jaya (SMJ) yang terkandung dalam Pelan Pembangunan SMJ kepada rakyat secara keseluruhannya.
Sehubungan itu, beliau memberikan penghargaan kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) kerana walaupun berstatus NGO, mereka memainkan peranan yang sangat aktif dalam pelbagai bidang khususnya dakwah, sosial dan kerja amal.
Sejak dahulu lagi, kata Hajiji, Usia konsisten dengan tanggungjawab dalam membantu kerajaan untuk memelihara keharmonian dan meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan penduduk Sabah.
“Itulah antara sebab mengapa saya menyarankan agar Usia berkolaborasi dengan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) untuk mengadakan forum bagi memberi penjelasan berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan dasar SMJ.
“Kerjasama dan kolaborasi seperti ini harus diteruskan, bukan hanya antara Usia dengan Pejabat TSKN (Tugas-Tugas Khas) sahaja, bahkan antara Kementerian atau Jabatan lain bersama dengan mana-mana NGO.
“Bekerjasamalah demi kebaikan dan kepentingan masyarakat dan rakyat,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh penganjuran Forum Malaysia Madani itu sebagai usaha menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke arah membina sebuah negara bertamadun, maju dan progresif.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat, terutama kalangan penjawat awam, selaku nadi penggerak pengurusan dan pentadbiran negeri, untuk terus berusaha dan bekerja demi membina sebuah negeri yang boleh dibanggakan bersama.
Sempena majlis itu, Hajiji turut menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Usia dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (Ikdar) bagi pengoperasian Pusat Latihan Dakwah Usia-Al-Bukhary di Kampung Marasinsim di Kota Marudu.
Beliau juga melancarkan program Wadah Amal Menteri (WAM2Care) bagi daerah Tawau, bagi menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada Pelajar-pelajar di Negeri Sabah; antaranya Bantuan Ehsan Sekolah Sabah (Bisba) dan Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa Guru (Bagus).
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Ruslan bin Muharam dan Yang Dipertua Usia, Datuk Haji Sapawi bin Haji Ahmad.