SANDAKAN: Kes demam denggi di daerah ini menunjukkan trend menurun secara keseluruhan dari Januari tahun ini hingga sekarang, berbanding tahun sebelumnya.
Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr. Johari Awang Besar berkata kes denggi di daerah ini menurun ke tahap yang boleh dikawal selaras dengan langkah proaktif dan komprehensif.
Johari berkata, pelbagai program pencegahan dilaksanakan secara berterusan membabitkan Pasukan Kesihatannya, agensi dan komuniti setempat seperti pengabutan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Kedua-dua langkah ini penting untuk dilaksanakan dalam tempoh 24 jam selepas sebarang kes denggi dilaporkan kerana ia mampu mengawal penularan demam denggi.
“Selain itu, kami juga menggerakkan Pasukan Kesihatan kami dengan kerjasama daripada masyarakat untuk melakukan pembersihan beramai-ramai sekurang-kurangnya sekali semasa wabak denggi dilaporkan di tempat dimaksudkan.
“Penurunan kes ini juga berikutan promosi kesihatan berterusan antara Pasukan Kesihatan, agensi tempatan, media dan penglibatan syarikat swasta,” katanya selepas Gotong- Royong Mega Merdeka Perangi Aedes yang diadakan di Kg Tinusa 2, pada Ahad.
Sementara itu, Johari percaya menyemai kesedaran orang ramai dan mendapat kerjasama padu daripada semua pihak penting dalam memerangi kes denggi kerana terdapat kekangan yang dihadapi oleh Pejabat Kesihatan Sandakan.
“Terdapat tiga kekangan utama yang perlu dihadapi oleh pasukan kesihatan dalam melaksanakan langkah pencegahan seperti penduduk enggan memberikan kerjasama untuk rumah mereka diperiksa, anjing liar di kawasan perumahan dan jambatan di perkampungan air yang tidak stabil.
“Oleh itu, saya berharap orang ramai akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kesihatan apabila mereka berada di lapangan.
“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai untuk membawa sekurang-kurangnya menjalankan 10 minit pembersihan di rumah masing-masing dan sila dapatkan rawatan perubatan terutama jika mengalami gejal demam denggi,” tambahnya.
Turut hadir Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Amirshah Yaakub, Ketua Kampung Tinusa 2 Norsidy Lumby, pengerusi Masjid Asmaul Husna Kampung Tinusa 2 Jefri Ambo dan penduduk setempat.