Kota Kinabalu: Mahkamah Rayuan pada Selasa menolak rayuan pekebun kecil di Ulu Tingkayu Lahad Datu untuk kekal atas tanah yang mereka diusahakan sejak dua dekad yang lalu.
Mahkamah Rayuan itu menolak rayuan pekebun kecil terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Tawau yang membenarkan permohonan Syarikat Mega Land Plantation Sdn Bhd untuk mengusir mereka atas alasan tanah itu sudah bergeran atas nama syarikat ladang berkenaan.
Hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang membuat keputusan itu melalui sidang zoom bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Tawau bahawa ‘tidak boleh wujud Tanah Adat (NCR) dalam kawasan Tanah Simpanan/Hutan Simpan.’
Pada Februari 2022 yang lalu, Syarikat Mega Land Plantation Sdn Bhd memfailkan saman pengusiran ke atas pekebun-pekebun kecil berkenaan.
Pada 2 Jun tahun yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau membenarkan permohonan pihak Syarikat Mega Land Plantation Sdn Bhd untuk mengusir pekebun-pekebun kecil di kawasan Ulu Tingkayu, Lahad Datu.
Pekebun kecil yang terdiri daripada 29 keluarga itu membuat rayuan terhadap keputusan di Tawau itu dengan Datuk Kong Hong Ming sebagai peguam mereka secara pro bono. Tanah itu membabitkan kawasan seluas 400 ekar.
Kes bermula pada April 2021 selepas Jabatan Tanah dan Ukur mengeluarkan satu Geran CL kepada pihak Syarikat Mega Land Plantation Sdn Bhd yang telah bertindih dengan kebun-kebun kelapa sawit penduduk kampung yang telah diusahakan sejak awal 2000.
Sementara itu, 29 keluarga pekebun kecil terbabit akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan untuk terus mendapatkan keadilan terhadap hak mereka ke atas tanah tersebut.
Aktivis Galus Ahtoi berkata ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan pekebun kecil itu di Ulu Tingkayu untuk kekal mengusahakan ladang kelapa sawit atas tanah yang mereka diusahakan sejak dua dekad.
Menurut Galus, keputusan mahkamah rayuan itu adalah berita duka kepada pekebun-pekebun terbabit dan juga tamparan hebat kepada keberkesanan undang-undang tanah adat NCR untuk mempertahankan hak-hak orang asal Sabah.
Galus berkata jika benar tanah yang dibuka pekebun itu adalah kawasan simpanan atau Hutan Simpan, bagaimana pula pihak Syarikat Mega Land Plantation boleh diberikan Geran Tanah.
Beliau, bagaimanapun, masih menaruh harapan kes itu masih berjalan dan di peringkat siasatan Tanah PPHT Lahad Datu atau Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
Mereka juga akan melanjutkan usaha mempertahankan tanah NCR dengan inkuiri tanah.
“Terima kasih kerana Peguam Datuk Kong Hong Ming kerana masih bersetuju untuk membantu dan membela nasib pekebun-pekebun ini secara pro-bono sehingga di peringkat tertinggi di Mahkamah Persekutuan.
“Semoga para pekebun kecil terus bersabar, bertahan dan berdoa untuk sinar cahaya dari kegelapan akibat ketidak-amanah pihak-pihak tertentu ini dalam menangani kes ini,” katanya.
Menurutnya, penyampaian keputusan oleh Mahkamah Rayuan itu menunjukkan kes NCR bukan lagi suatu perkara yang mudah untuk diselesaikan.
“Sukar untuk mempertahankan hak-hak penduduk kampung,” katanya.
Dengan keputusan terbaru itu, katanya, kes NCR akan kembali mengalami zaman gelap dan ancaman besar kepada kehidupan Orang Asal yang kehidupan mereka bergantung sepenuhnya kepada tanah.
Beliau menggesa Orang Asal untuk meneruskan perjuangan dengan bersatu kerana yakin akan sentiasa ada sinar cahaya di hujung terowong yang sangat gelap ini.