Kota Kinabalu: Seorang lelaki didakwa melakukan gangguan seksual fizikal terhadap sepupunya.
Lelaki itu mengaku tidak bersalah, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, terhadap pertuduhan ke atasnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun itu dengan menarik tangannya serta meletakkan tangan remaja itu di kemaluan tertuduh.
Insiden yang didakwa berlaku pada 6.24 petang pada 10 Mei tahun ini di sebuah rumah di Kota Belud.
Kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 29 September tahun ini untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM15,000 dengan RM5,000 didepositkan serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah juga mengenakan beberapa syarat kepada lelaki itu iaitu melaporkan diri di balai polis Kota Belud dua kali sebulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan terutama remaja yang didakwa sebagai mangsa dalam kes itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jessica Ombou Kakayun manakala peguam Nabila Norsahar membela tertuduh untuk permohonan ikat jamin.