Kota Kinabalu: Seorang pekerja kilang biskut berusia 24 tahun yang melakukan gangguan seksual fizikal terhadap adik iparnya, dijatuhi hukuman penjara selama 11 tahun dengan dua sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhi hukuman itu selepas lelaki tersebut mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya, pada Rabu.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun semasa menjalani hukuman penjara.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, lelaki itu turut diperintah untuk diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Lelaki itu diperintahkan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap.
Dia melakukan kesalahan itu terhadap gadis berusia 16 tahun itu dengan mencium mulut, membelai payudara dan menyentuh bahagian sulit remaja itu menggunakan jari pada 8.30 malam, 28 Mac tahun ini di dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan di Papar.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebat.
Semasa mitigasi, lelaki itu meminta hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai dua anak dan ibu bapa untuk dijaga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan memandangkan kes seperti itu berleluasa dan serius.
Dalam kes itu, Dacia berhujah bahawa mangsa adalah adik ipar lelaki itu dan sebagai orang yang dipercayai, lelaki itu tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap remaja itu.
Mahkamah mendengar bahawa kejadian berlaku ketika lelaki itu mengambil mangsa dari sekolahnya dan selepas tiba di tempat tersebut, lelaki itu telah memberhentikan kereta dan melakukan kesalahan itu terhadap mangsa.
Selepas kejadian itu, lelaki itu telah memberi amaran kepada mangsa agar tidak memberitahu orang lain tentang kejadian itu.
Bagaimanapun, mangsa telah mendedahkan kejadian itu kepada guru kaunselingnya lima bulan kemudian dan guru itu kemudian menasihatinya untuk membuat laporan polis.
Susulan laporan polis, lelaki itu ditahan.