Seorang penduduk Kuala Penyu kurang senang dengan sikap sambil lewa kontraktor yang diberi tugas memotong rumput di rizab jalan menuju ke kampungnya baru-baru ini.
Selepas diabaikan “selama bertahun-tahun”, dia berkata rumput di tepi jalan itu akhirnya dipotong awal bulan ini.
Bagaimanapun, kontraktor yang melaksanakan kerja itu hanya memotong beberapa sentimeter di atas rizab jalan dan meninggalkan rumput yang lain, menurutnya.
Beliau berkata rumput yang dipotong dibiarkan di sepanjang jalan hampir dua minggu kemudian kerana mereka tidak kembali untuk membersihkan rumput yang sudah dipotong.
KERJA-KERJA memotong rumput di tepi jalan ini dilakukan secara semborono, menurut pengadu.
Sementara itu, seorang pembayar kadar di Manggatal, turut tidak berpuas hati dengan keadaan longkang tepi jalan di luar halaman depan rumahnya yang tidak diselenggara.
Beliau berkata longkang itu tersumbat dengan rumpai dan mengesyaki air yang bertakung di dalam struktur itu mengeluarkan bau busuk.
Kedua-dua individu itu memberikan kepada Hotline maklumat berkaitan – termasuk lokasi kawasan yang diadukan – dan maklumat itu telah dimajukan kepada Majlis Daerah Kuala Penyu dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Jurucakap Majlis berkata semakan rekodnya mendapati jalan masuk ke Kg Purun Ulu tidak berada dalam daftar agensi itu.
“Kami tidak dapat campur tangan dalam masalah membabitkan sisa taman,” katanya.
“Apa yang kami tahu, bahagian itu diselenggara oleh salah seorang kontraktor JKR.
“Jadi, perkara yang paling boleh kami lakukan ialah memaklumkan kepada rakan setugas kami di pejabat Jabatan di daerah itu mengenai perkara tersebut.
Jurucakap JKR berkata ia perlu menentusahkan sama ada jalan masuk ke kampung itu berada di bawah bidang kuasanya. .
“Pemeriksaan awal akan dibuat jika bahagian ini berada dalam daftar kami,” katanya.
Beliau berkata beberapa syarikat konsesi, yang dilantik oleh Kementerian Kewangan, ditugaskan untuk menjaga pelbagai jalan berturap di sekitar Kuala Penyu.
Apabila ditanya sama ada Jabatan mempunyai peranan dalam menyelia kerja yang dilakukan oleh firma-firma ini, jurucakap itu enggan mengulas.
“Setiap syarikat ini mempunyai penyelia sendiri yang bertujuan untuk memeriksa kerja-kerja yang dilakukan oleh sub-kontraktor mereka.
“Penyelenggaraan ini termasuk menjaga rizab di bahu jalan tepat pada masanya.”
JURID yang menetap di Kg Purun Ulu pada mulanya berasa gembira dengan perhatian yang diberikan kepada rumput yang tumbuh di kedua-dua belah jalan masuk ke kampung itu.
Kegembiraannya, bagaimanapun, tidak bertahan lama kerana kerja-kerja itu ‘dilakukan dengan semberono’
“Mereka potong rumput tidak sampai 30cm dari bahu jalan,” katanya. “Pekerja kontraktor sepatutnya memotong rumput satu setengah meter dari bahu jalan.”
Beliau berkata pemotong rumput terbabit tidak membersihkan rumput yang telah dipotong, sebaliknya membiarkannya berlonggok di sana sini.
Jurid berkata rumput kering itu kemudian diterbangkan angin menutupi jalan raya.
Pemilik rumah Manggatal, AUDRA, berkata longkang di luar perkarangan hadapannya tidak diselenggara “dalam beberapa bulan”.
“Banyak mendapan pasti berada di dasar longkang, sebab itu rumpai tumbuh subur,” katanya.
“Tumbuhan ini menyekat aliran air hujan dan saya yakin air bertakung di dalam struktur itu.”
Audra berkata, ramai daripada mereka yang tinggal di Lorong Richdar 2 terpaksa menutup pintu dan tingkap di hadapan rumah mereka kerana bau busuk dari longkang.
LONGKANG di hadapan sebuah rumah di Taman Richdar yang dipenuhi tumbuhan.
“Kami mengalami kekurangan pengudaraan di ruang tamu rumah kami gara-gara mengelakkan bau busuk daripada masuk ke dalam rumah.”
Jurucakap DBKK berkata syarikat konsesi kerajaan bertanggungjawab menyelenggara longkang halaman depan, manakala DBKK pula menjaga longkang di belakang kediaman.
Beliau berkata longkang di hadapan dibersihkan mengikut jadual tetap, manakala longkang di belakang sekali dalam setiap enam bulan.
“Kami telah meminta syarikat itu meningkatkan usaha penyelenggaraan di Taman Richdar supaya orang ramai di sini tidak berdepan masalah perparitan,” katanya.
“Apapun, pekerja kami akan cuba masuk sebelum pembersihan berjadual, untuk menangani sebarang aduan yang melibatkan longkang sebelah belakang.”