Kota Kinabalu: Kelab Renang Preppies Penampang (PPSC) selaku tuan rumah berjaya mempertahankan gelaran keseluruhan dalam Kejohanan Renang Bawah 12 Tahun Penampang ke-13 yang berlangsung di Kolam Renang Kompleks Sukan Penampang dari 26-27 Ogos.
Mereka mengumpul 44 emas, 55 perak dan 33 gangsa, jauh di hadapan Persatuan Akuatik Labuan di tempat kedua yang hanya memperoleh 23 emas, 11 perak dan 17 gangsa, manakala di tempat ketiga Kelab Renang Akuatik PJMS dengan 22 emas, 10 perak dan lima gangsa.
PPSC turut memenangi tiga anugerah individu menerusi Scott Lee Tsun An (lelaki 12), Audreyna Ho Fei Ying (perempuan 12) dan Dayang Sari Abdullah (perempuan 10).
Pemenang lain ialah Ngok Shao Han Edward (lelaki 8) dan Skye Teo Ye Xiang (lelaki 9) dari Persatuan Akuatik Labuan, Thien Siew Yee (perempuan 8) dan Natalia Gracey Jacklee (perempuan 11) dari Kelab Renang SSA, Adawiyah Fatnin binti Anthony dari Kelab Renang Blue Marlin (perempuan 9), Jeremy Ng Chong Wei (lelaki 10) dan Jeff Lo Wei Zhe (lelaki 11) dari Kelab Renang Akuatik PJMS.
Seramai 213 perenang daripada tujuh kelab mengambil bahagian dalam pertandingan dua hari itu.