MELAKA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan pesawah, Khamis ini bagi membincangkan berkaitan bekalan beras tempatan negara.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia berikutan tindakan penyelarasan harga beras putih import oleh Bernas sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
“Hari khamis ini (KPKM adakan pertemuan) bersama Bernas, pegawai-pegawai tinggi daripada Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), kemudian bersama pengusaha-pengusaha sawah untuk kita berbincang (langkah) seterusnya (untuk memastikan beras tempatan mencukupi dalam pasaran negara).
“Macam dulu bila kita hadapi masalah telur dan ayamlah... bila semua bekerjasama, alhamdulillah kita dapat atasi. Kita harap hal beras pun sebegitu juga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Mega Agro MADANI Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini hari ini.