Kota Kinabalu: Lima sekolah menengah akan berentap dalam pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Sabah 2023.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah Jainisah Mohd Noor, pertandingan tersebut akan diadakan di Dewan SMK Kolombong di sini, pada 6 September ini.
“Lima sekolah tersebut adalah SMK Kunak, SMK Kunak Jaya, SMK Bandaraya Kota Kinabalu, SMK Kolombong dan dua kumpulan dari SMK Apin-Apin Keningau.
“Selain sijil penghargaan dan piala iringan, wang tunai sebanyak RM2,000 akan di bawa pulang juara, RM1,500 naib juara manakala tempat ketiga akan mendapat RM1,000, seterusnya RM500 kepada tiga lagi kumpulan tempat keempat hingga keenam.
“Penilaian dilakukan berdasarkan beberapa aspek antaranya Teknik Persembahan, Skrip, Ketepan Bahasa, Teknik Komunikasi dan juga kekreatifan dalam membuat persembahan yang akan dinilai oleh tiga juri terdiri dari wakil JaPen selaku penganjur, wakil dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dan wakil dari penggiat seni,” katanya selepas bersiaran langsung di Konti SabahFM, baru-baru ini.
Beliau berharap, semua kumpulan terlibat akan membuat persembahan yang kreatif dan menarik kerana menurutnya, selain hadiah yang lumayan, pemenang akan mewakili Sabah ke peringkat kebangsaaan di Kuala Lumpur pada 28 Oktober depan.
Menurut Jainisah, pertandingan yang berkonsepkan seni lakon dan penceritaan itu menyasarkan pelajar sekolah menengah yang mempunyai Kelab Malaysiaku bertujuan menggelorakan semangat cintakan negara melalui penghayatan prinsip Rukun Negara.