Kota Kinabalu: Kerajaan negeri bercadang memperuntukkan kira-kira 10 peratus unit Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk siswazah baharu di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Beliau berkata ia bertujuan membantu graduan baharu yang baru bekerja dan mengurangkan beban kewangan apabila terpaksa menyewa bilik atau rumah.
“Ini masih dalam peringkat perbincangan dan kita sedang berbincang dengan pihak berkaitan seperti PBT dan khususnya Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) Sabah supaya cadangan itu dapat direalisasikan, yang ianya bukan mudah.
“Untuk makluman, kita ada kira-kira 1,000 unit PPR yang sudah siap tetapi 10,000 orang memohon untuk menduduki unit tersebut. Justeru, untuk memilih siapa yang patut diberikan unit itu adalah sesuatu yang memeningkan kepala,” katanya.
Dr Joachim berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Shareda PropEX 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, baru-baru ini.
Mengenai pelaksanaan cadangan itu, beliau berkata beliau tidak dapat memastikan kerana mereka masih berbincang mengenai cara untuk melaksanakan perkara itu berikutan bilangan pemohon yang terlalu banyak menunggu dan mengharapkan untuk mendapatkan unit tersebut.
Justeru, Dr Joachim, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata Sabah memerlukan lebih banyak unit PPR untuk dibina tetapi mendapatkan pembiayaan adalah isu yang membimbangkan.
“Kita perlukan lebih banyak unit PPR (di Sabah) tetapi sayangnya peruntukan bukan datang dari langit, kita kena cari peruntukan.
“Sebenarnya kami masih bergantung kepada kerajaan Persekutuan untuk membina unit PPR di Sabah kerana kos untuk membina unit PPR bukan murah.
“Sebagai contoh, di semenanjung, rumah PPR dijual pada harga RM50,000 tetapi kos pembinaan kira-kira RM150,000 dan kerajaan perlu memberi subsidi RM200,000. Tetapi apabila didarabkan dengan 1,000 unit PPR, jumlah kosnya ialah RM200 juta, jadi anda boleh lihat ia bukan mudah,” katanya.
Setiap tahun, kata Dr Joachim, kerajaan Negeri memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pembiayaan untuk membina lebih banyak unit PPR.
Bagi tahun ini, beliau berkata daripada tiga permohonan yang dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk membina unit PPR di tapak yang dikenal pasti di Putatan, Kinabatangan dan Kuala Penyu, hanya tapak di Kuala Penyu baru-baru ini diluluskan untuk 100 unit.
Sebenarnya, katanya kerajaan Negeri memohon 200 unit dibina di Kuala Penyu tetapi disebabkan kajian kebolehlaksanaan yang telah dijalankan, hanya 100 unit diluluskan.
Baru-baru ini, Dr Joachim berkata beliau bertemu dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Persekutuan, yang telah membangkitkan beberapa isu mengenai pembangunan perumahan di Sabah dan menteri berkenaan berkata kajian kemungkinan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum mendapatkan dana.
“Jadi mungkin kita perlu melihat perkara ini dengan lebih positif untuk mengelak projek menjadi projek ‘sakit’, kita perlu melihat semua faktor penyumbang supaya kita dapat mengelak kesilapan lalu kita.
“Kita memang berbincang tentang apakah faktor penyumbangnya, justeru sebelum mereka meluluskan (unit PPR) baharu, kita kena lihat semua senario dahulu. Dari segi itu, mudah-mudahan kita dapat bantuan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Bagi program perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ), beliau berkata kerajaan Sabah hanya boleh memperuntukkan 20 unit untuk golongan miskin tegar bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang beliau akui angka itu tidak mencukupi untuk setiap DUN.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah Datuk Dr Jamili Nais, Timbalan Setiausaha Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Persekutuan (Dasar Perumahan) Bahagian Perancangan Perumahan Rosidawati Abdul Rashid, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Roland Chia, Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) Datuk Sr Chua Soon Ping, Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur Datuk Sr. Bernard Liew, dan Pengerusi Penganjur Shared PropEx 2023 Joanne Wendy Chung.