KENINGAU: Polis di sini menahan empat lelaki rakyat Indonesia kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh rakan senegara berumur 47 tahun.
Ketua Polis Keningau Supt Polis Yampil Anak Garai berkata empat suspek berumur antara 17 hingga 37 tahun itu ditangkap secara berasingan di kawasan tepi jalan Kg Bunga Raya di sini dan di hadapan rumah tidak bernombor di ladang sawit Sapong, Tenom, antara jam 8 pagi dan 3 petang, Sabtu.
Katanya, tangkapan itu dibuat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau susulan maklumat hasil siasatan.
Yampil berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan kes kematian mangsa kira-kira jam 9.50 malam pada 29 Ogos lalu.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku lebih kurang jam 4 petang pada 27 Ogos selepas seorang lelaki tempatan yang meronda di kawasan kebun di Kg Batu 27, Jalan Tenom – Keningau menemui mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas.
“Seterusnya mangsa dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun pada 28 Ogos, pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalaman otak yang mana terdapat benjolan pada kepala kanan mangsa.
“Berikutan kes itu dua perempuan dan seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan yang kemudiannya membawa kepada penangkapan keempat-empat suspek,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kesemua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama katanya, polis IPD Keningau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu dalam penangkapan kesemua suspek.
Bagaimanapun, beliau menasihati orang awam agar tidak membuat spekulasi mengenai kes tersebut di media sosial yang akan menjejaskan siasatan polis.