Kota Kinabalu: Insentif perjalanan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) “Mansau Sabah Boostku” menerima sambutan memberangsangkan pada Pameran Matta selama tiga hari di Kuala Lumpur, yang berakhir Ahad lepas.
Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai berkata sambutan menggalakkan itu adalah bukti minat pelancong untuk melawat Sabah.
“Kami sangat teruja dengan sambutan luar biasa daripada pengunjung di Pemeran Matta itu. Seluruh insentif rangsangan RM200,000 itu habis sepanjang pameran itu.
“Permintaan luar biasa ini menunjukkan minat tinggi rakyat Malaysia dan pengembara untuk menerokai pelbagai tarikan yang ditawarkan Sabah,” katanya.
Kempen yang dimulakan oleh STB itu menawarkan 2,500 e-baucar bernilai RM80 setiap satu kepada pengguna, membolehkan mereka mengurangkan perbelanjaan perjalanan mereka apabila menempah perjalanan ke Sabah.
Baucar ini bertujuan menggalakkan pengunjung membeli pakej pelancongan ke Sabah semasa Pameran Matta yang berlangsung dari 1-3 Sept.
Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, memuji 37 ejen pelancongan daripada Matta Sabah kerana berusaha mempromosikan pakej pelancongan Sabah pada pameran itu.
“Kerjasama kami dengan ejen pelancongan adalah penting untuk kejayaan mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama.
“Komitmen dan dedikasi mereka telah terbukti semasa pameran itu,” katanya.
Dengan sambutan luar biasa di Pameran Matta dan insentif pelancongan menarik yang ditawarkan STB, Joniston melahirkan keyakinan bahawa industri pelancongan Sabah akan mempunyai prospek positif.