Kota Kinabalu: Seorang pengawal keselamatan berusia 62 tahun, yang didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun tahun lalu, diperintah membela diri terhadap pertuduhan itu.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan dalam membuat perintah itu pada Isnin, memutuskan bahawa mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Liwoh Tigoan.
Liwoh didakwa merogol kanak-kanak itu pada malam 3 Mei 2022, di sebuah rumah di Jalan Kionsom, pekan baharu Inanam, dekat sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara 10 dan 30 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Liwoh pada 18 Mei 2022 meminta dibicarakan terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah menetapkan 11 Nov untuk pembelaan Liwoh.
Enam saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan di peringkat pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dacia Jane Romanus manakala Liwoh diwakili peguam Jaikol Situn.
Sementara itu, 12 orang telah dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret kerana mengambil dadah.
Nicholas Joseph, Jerry Sameh, Alryan Larry, Welson Bilan, Dean Joe, Naan Dani, Haszarul Hekam, Abdullah Said, Mohd Nur Ibrahim, Jesman Ampon, Windly Ong dan Ramlan Kalo mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie kerana melakukan kesalahan itu di lokasi yang berbeza di sini dan di Penampang, antara 20 Mei dan 5 Julai.
Nicholas dijatuhi hukuman penjara 16 bulan, Jerry dipenjara 14 bulan, Alex dijatuhkan penjara 12 bulan, Welson dipenjara sembilan bulan, sementara Haszarul, Dean dan Nan masing-masing dipenjara lapan bulan.
Abdullah, Mohd Nur dan Jesman dipenjara tujuh bulan, manakala Windly dan Ramlan masing-masing didenda RM2,000 atau penjara lapan bulan.
Mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit.