Kota Kinabalu: Seorang petani berusia 48 tahun yang merogol anak perempuannya berusia 12 tahun sehingga mengandung, dipenjara 26 tahun dan dikenakan 20 sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki itu yang mengaku bersalah kepada dua pertuduhan terhadapnya pada Isnin.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan dikenakan 10 sebatan kerana merogol kanak-kanak perempuan itu pada Januari tahun ini pada pukul 10 malam di sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Sipitang.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dipenjara 13 tahun dan dikenakan 10 sebatan lagi kerana mengulangi kesalahan itu terhadap kanak-kanak sama pada Februari tahun ini, pada tengah hari di sebuah rumah di sebuah ladang di kampung sama juga di Sipitang.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjaranya secara berturut-turut mulai tarikh dia ditangkap 22 Julai tahun ini.
Selepas hukuman penjara itu selesai, lelaki itu diperintahkan untuk diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Semasa rayuan, lelaki yang tidak diwakili itu meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia mempunyai keluarga untuk dijaga di kampungnya selain ibunya sakit.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dk Afiqah Alya Ak Johari @ Pg Johari menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pencegahan bagi menunjukkan kesalahan ini adalah jenayah yang sangat serius.
Tambahnya, lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai isteri tetapi dia masih tidak dapat mengawal nafsunya, dan tertuduh sebagai orang yang sudah berkahwin harus dikenakan hukuman yang lebih berat.
Afiqah seterusnya berhujah bahawa lelaki itu melakukan kesalahan itu terhadap anak kandungnya sendiri sehingga mengandung.
Mahkamah mendengar bahawa pada 21 Julai tahun ini, pengadu yang bertugas di sebuah klinik kesihatan di Sipitang, didatangi seorang kanak-kanak yang mendakwa dia batuk, muntah dan berasa sakit di perut.
Selepas membuat pemeriksaan, pengadu mendapati kanak-kanak itu hamil dan mengandung kira-kira 22 minggu pada waktu itu.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan merujuk kanak-kanak itu ke unit kecemasan Hospital Sipitang.
Susulan laporan polis, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu didapati dirogol dua kali oleh bapanya sendiri.
Kejadian pertama pada Januari di sebuah rumah dan kejadian kedua pada Februari di sebuah rumah di ladang.
Lelaki itu ditangkap selepas itu.