Kota Kinabalu: Skuad bola keranjang lelaki dan perempuan Sabah menamatkan saingan sebagai naib juara pada Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan 2023 MABA / MILO Lum Mun Chak ke-30 (15 tahun ke bawah) yang berakhir di Batu Pahat, Johor pada Sabtu.
Pasukan lelaki tewas kepada Johor (1) 52-83 pada perlawanan akhir manakala skuad perempuan ditewaskan Selangor (1) 58-109.
Kedua-dua pasukan tidak tewas sepanjang laluan mereka ke pusingan akhir. Terdahulu di separuh akhir, pasukan lelaki menewaskan Selangor (1) 73-68 dan pasukan perempuan menewaskan Johor (1) 64-61.
Lim Yee Juan juga disenaraikan sebagai pemain paling mencuri perhatian dalam kategori perempuan manakala Ryan Soo Ken Hung mencatatkan lantunan terbanyak dalam kategori lelaki.
Kedua-dua pemain itu juga antara 12 dari Sabah yang disenarai pendek untuk skuad kebangsaan.
Yang lain ialah Aston Lai Jia Xun, Ikram Wong, Wong Yu Wei, Yee Kian Yung, Loh Haw Shan, Celine Vu Shi Yi, Carene Chua, Andrea Teo Shiat Yee, Ellie Chen Yi Tin, dan Chung Xing Zhen.
Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah Phan Chee Yong, yang juga naib presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia, memuji pemain dan pegawai.
“Ini adalah kali pertama dalam lebih 60 tahun sejak penubuhan Persatuan Bola Keranjang Sabah apabila kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan kami berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan kebangsaan bersama-sama, walaupun skuad lelaki kali terakhir memenangi kejuaraan pada 1999 dan perempuan sudah pernah menaiki podium beberapa kali.
“Kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi memberangsangkan, mencatatkan enam kemenangan berturut-turut untuk mara ke pusingan akhir dan mereka hanya tewas kepada pasukan yang lebih bersedia dan lebih baik pada hari itu,” katanya.
Beliau juga mendedahkan pasukan negeri juga mencatat prestasi yang baik dalam pertandingan bola keranjang Majlis Sukan Sekolah Malaysia yang diadakan pada masa sama dengan menduduki tempat kedua dalam kategori lelaki bawah-12 dan bawah-18 tahun, serta memenangi gelaran untuk kategori perempuan dan menamatkan saingan sebagai naib johan kategori lelaki dalam pertandingan bola keranjang Majlis Sukan Sekolah Menengah Persendirian Jenis Cina Kebangsaan.
“Ia adalah satu pencapaian yang luar biasa oleh pemain kami dan saya berharap kejayaan itu akan mendorong mereka untuk bekerja lebih keras, menjadi pemain yang lebih baik dan mencapai keputusan yang lebih baik untuk Sabah pada masa hadapan.”
Beliau juga melahirkan rasa terima kasih kepada semua ahli gabungan atas sokongan mereka dan jurulatih, guru, pengetua dan komuniti perniagaan atas input mereka dalam membantu persatuan meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan belia.
Sementara itu, kejohanan Bola Keranjang Bawah 17 Tahun negeri dijangka berlangsung di Tawau tidak lama lagi diikuti kejohanan Bawah 17 Tahun Kebangsaan dengan Sabah selaku tuan rumah pada Disember depan.