Kota Kinabalu: Sebuah syarikat dibebaskan daripada tujuh pertuduhan menggunakan jentera pembalakan yang tidak berdaftar dengan Ketua Konservator Hutan (FCC), tanpa memintanya membuat pembelaan.
Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khaltom Abd Samad melepas dan membebaskan Maxland Sdn Bhd daripada semua pertuduhan selepas membuat keputusan pada akhir pendakwaan pada Selasa.
Mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap syarikat itu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketujuh, syarikat itu sebagai kontraktor pembalakan, didakwa menggunakan tujuh jentera pembalakan yang tidak berdaftar dengan FCC untuk tujuan pembalakan.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada tengah hari 24 Ogos 2018 di kawasan stumping FMU 5, Aneka Desiran di Hutan Simpan Trusmadi, Ranau.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 20B(1) Peraturan-Peraturan Hutan 1969 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 20B(9)(1) Peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 12 bulan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil enam saksi dalam perbicaraan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azrni manakala peguam Ian Cham mewakili syarikat itu.