Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 36 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Rabu, atas pertuduhan menyerang seorang lelaki tujuh bulan lalu.
Amir Azuan Abdullah, seorang tenaga pengajar mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie atas tuduhan secara sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohammad Jubkar pada 5 petang 15 Feb tahun ini di Giat Mara, Taman Bersatu, Putatan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 26 Sept untuk pengurusan kes dan melepaskan Amir dengan ikat jamin RM1,000 berserta dua penjamin.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 28 tahun, yang secara menipu mempunyai RM5,000 di dalam akaun banknya, didenda RM100 atau penjara sehari.
Md Ruzaizi Ariff dari Negeri Sembilan mengaku bersalah mempunyai wang milik Yapin Yosep itu dalam akaun Maybanknya, di mana dia gagal memberikan penjelasan memuaskan tentang cara dia memperolehnya pada 8 Jun tahun ini.
Kesalahan di bawah Seksyen 22A (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit.