TAWAU: Seorang suspek pengedar dadah yang cuba melarikan diri dengan memandu melawan arus dalam sekatan jalan raya di Jalan Timur, di sini, ditahan polis bersama 2.162 kilogram syabu.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari Rabu lepas, lelaki warga tempatan berumur 30 tahun itu memandu kereta Proton Satria Neo.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemui satu bungkusan plastik mengandungi empat bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu.
“Pemeriksaan lanjut di dalam bonet kereta itu menemukan sebuah kotak bertutup yang didalamnya terdapat dua bungkusan plastik hijau bertulisan ‘guanyinwang’ berisi dadah,” tambahnya.
Jasmin berkata, anggaran berat kasar dadah tersebut adalah 2,162.40 kg bernilai sekitar RM120,000, dipercayai untuk pasaran tempatan.
Tambahnya, suspek yang turut memiliki rekod jenayah melibatkan dadah iaitu Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2016, didapati negatif dadah melalui ujian air kencing.
“Dia ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata, polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti jika kes itu melibatkan sindiket dan mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk sama-sama membanteras kegiatan dadah di daerah itu.