MEMBAKUT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Patrick mencatat sejarah sendiri apabila untuk kali keempat menempa nama dalam The Malaysia Book Of Record (MBOR) dengan menghasilkan anyaman peta Sabah terbesar menggunakan penutup botol.
Peta Sabah berukuran 11 meter tinggi dan 30.4 meter lebar itu mengambil masa lima bulan untuk disempurnakan bermula April tahun ini dan siap sepenuhnya awal bulan ini.
Paling menarik, kejayaan mencipta nama dalam MBOR itu bukan sahaja melibatkan inisatif pelajar dan guru sekolah itu tetapi juga kerjasama erat ibu bapa.
Pengetua SMK St Patrick, Richard David berkata, sebanyak 303,160 penutup botol digunakan untuk menghasilkan inovasi kreatif itu membabitkan tenaga kerja seramai 800 orang.
Katanya, pengumpulan penutup botol dimulakan sejak 2019 dengan permohonan kepada MBOR pada 2020, namun terhenti apabila negara dilanda pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun, pada awal tahun ini usaha dimulakan semula dengan pengumpulan tambahan penutup botol yang akhirnya membawa kepada permulaan kerja anyaman pada April yang siap sepenuhnya 8 September lalu.
“Selain peranan pelajar, guru dan ibu bapa, banyak pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan turut membantu merealisasikan usaha ini termasuk wakil rakyat Membakut, Datuk Dr Ariffin Arif.
“Rekod sama dicipta sebelum ini pada 2009, 2014 dan 2017 lalu, masing-masing melalui penghasilan bendera Sabah dan Jalur Gemilang serta lukisan Gunung Kinabalu dan bunga Rafflesia terbesar menggunakan penutup botol dan tin minuman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Pengumuman MBOR yang dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ariffin Arif di SMK ST Patrick, di sini, Jumaat.
Sementara itu, Ariffin berkata, usaha dilaksanakan warga sekolah itu wajar dicontohi kerana ia dapat memupuk semangat cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda.
Katanya, inovasi kreatif dilaksanakan sempena Hari Malaysia itu juga mampu mewujudkan semangat kerjasama dan harmoni dalam kalangan ibu bapa, guru serta pelajar terbabit.
“Bukan mudah merealisasikan usaha ini tanpa kesungguhan dan peranan aktif semua pihak, yang tanpa mengenal erti putus asa berjaya menghasilkan satu inovasi membanggakan hingga mampu menempa nama dalam MBOR.
“Syabas diucapkan kepada warga SMK St Patrick. Saya memberi jaminan akan sentiasa menyokong apa jua usaha yang bakal dilaksanakan sekolah ini pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, pegawai dari MBOR turut hadir bagi mengesah dan mengumumkan rekod yang dicipta sekolah berkenaan.