Kota Kinabalu: Seorang penjaga premis hiburan didenda RM2,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengendalikan premis itu melebihi masa dibenarkan.
Tahassarun Amuma, 45, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles atas tuduhan mengendalikan Club Mix R&B Pub di kedai pekan Koidupan, Penampang pada 2.30 pagi, 4 Ogos tahun ini.
Pihak pendakwaan memaklumkan majistret bahawa sepasukan polis yang menjalankan Ops Noda pergi ke premis itu dan mendapati ia masih beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.
Polis merampas peralatan muzik dengan kehadiran Tahassarun, kata pihak pendakwaan.
Tahassarun telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Hiburan Awam 1958 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 Ordinan sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kes lain, dua wanita didenda sejumlah RM3,600 kerana terlibat dalam perjudian dalam talian menggunakan telefon bimbit.
Fazilah Zakaria, 26, dan Nurlina Nasir, 29, mengaku secara berasingan melakukan kesalahan itu.
Pembantu kedai Fazilah diperintah membayar denda RM1,800 atau penjara dua bulan kerana melakukan kesalahan itu pada 2.50 petang 7 April tahun ini di sebuah premis di Kepayan Ridge, di sini.
Nurlina turut didenda RM1,800 atau penjara dua bulan atas kesalahan serupa pada 7.45 malam 5 Mei tahun ini di ruang kaki lima Inanam Business Centre, Batu 6, Jalan Tuaran.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, Fazilah dan Nurlina telah ditangkap secara berasingan semasa Ops Dadu Khas – perjudian dalam talian dan telefon bimbit mereka dirampas.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Kelvan Elson Maik.