Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyangkal khabar angin pengasas parti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan kembali menerajui jawatan presiden.
Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata presiden parti Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semakin pulih dan masih banyak terlibat dengan perjalanan parti.
“Tan Sri (Pairin) tidak akan kembali, noktah. Presiden (Maximus) telah melantik pasukan petugas khas untuk menjaga parti semasa ketiadaan beliau dan dipengerusikan oleh saya,” katanya pada sidang media, di sini, Rabu.
“Presiden masih mengendalikan parti, dan kami (pasukan petugas khas) melakukan kerja.
“Kita akan lihat sama ada beliau mahu melanjutkan pasukan petugas selepas kongres parti.”
Selain Joachim, pasukan petugas itu turut dianggotai Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Yee Moh Chai dan Datuk Jahid Jahim, Ketua Setiausaha Datuk Julita Majungki, Bendahari Agung Lu Kim Yen dan Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai.
Ketidakhadiran Maximus baru-baru ini di acara awam dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan telah mencetuskan spekulasi mengenai kesihatannya dan jawatan presiden parti.
Mengenai kongres parti yang akan diadakan Ahad ini (24 September) di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang, Maximus akan hadir, tetapi Pairin akan merasmikannya.
“Tan Sri (Pairin) telah menjadi Penasihat Perdana sejak beliau meletak jawatan sebagai presiden parti, dan kami telah berunding dengan beliau dalam banyak perkara.
“Jadi, tidak akan timbul isu beliau merasmikan kongres. Saya akan membaca ucapan dasar presiden,” kata Joachim.
Mengenai kerjasama dengan Star, Joachim, yang juga Timbalan
Ketua Menteri, berkata perwakilan parti akan membincangkannya semasa kongres.
“Penggabungan dengan Star masih jauh… saya tidak fikir begitu (ia akan berlaku).
“Tetapi, bekerjasama dengan mereka, ya, itu akan dibincangkan di kongres.”
Beliau juga berkata pasukan petugas yang diketuai Julita akan ditubuhkan selepas kongres untuk berunding dengan Star.
“Kami menyasarkan untuk bekerjasama sebelum pilihan raya Negeri akan datang dan dengan pasukan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).
“Untuk pilihan raya negeri akan datang, kita juga boleh bekerjasama dengan parti lain,” katanya.
Terdahulu, Julita berkata kongres itu akan dihadiri lebih 800 perwakilan daripada lebih 60 bahagian.
Beliau berkata kongres itu akan menyaksikan perbincangan dan input daripada ahli parti mengenai pelbagai isu, seperti mengeratkan hubungan dan kestabilan politik di negeri ini.