LAHAD DATU: Seorang warga asing berumur 23 tahun maut selepas diserang seekor buaya di Kampung Tinagian, Tanjung Labian, di sini, pada Rabu.
Difahamkan, mangsa yang merupakan seorang pekerja am di sebuah ladang di sini, sedang menangkap ketam bersama tiga rakannya ketika kejadian di kawasan air masin berhampiran Kampung Tinagian.
Ketua Polis Daerah, ACP Dr Rohan Shah Ahmad dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, ketika menangkap ketam itu, mangsa dibayam oleh buaya berkenaan.
Rohan berkata, rakan mangsa tidak sempat melakukan apa-apa kerana kejadian itu berlaku dalam sekelip mata.
“Kira-kira jam 7.20 pagi, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di pantai berhampiran pos ATM di Kampung Tanjung Batu.
“Mayat itu ditemukan dengan kesan gigitan di lengan kiri dan kepala. Beberapa kesan calar turut ditemukan di dada, leher dan punggung,” katanya.
Menurut Rohan, sepasukan polis dari Balai Polis Desa Kencana tiba di tempat kejadian dan mengambil mayat itu sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
Rohan berkata, polis telah menjalankan siasatan laporan kematian mengejut susulan kejadian itu. Ini merupakan kes pertama melibatkan serangan buaya, tahun ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terutama apabila melakukan sebarang aktiviti berhampiran laut atau sungai bagi mengelak kejadian tidak diingini.