PERTANDINGAN video kreatif telah dilancarkan pada 8 Sept, menawarkan hadiah berjumlah kira-kira RM50,000.
Peraduan yang bertemakan “Kita Orang Sabah” itu dianjurkan oleh biro latihan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) untuk menggalakkan orang ramai di Sabah, terutamanya mereka yang mempunyai minat untuk mencipta video pendek kreatif, menunjukkan bakat dan kemahiran mereka.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Presiden Gagasan Rakyat, merasmikan pelancaran itu di ibu pejabat parti di Alamesra, Kota Kinabalu.
Pengerusi Penganjur Pertandingan Datuk Abdul Kassim Razali berkata, pertandingan itu terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori 18 – 38 tahun dan kategori 39 tahun ke atas.
Pemenang/johan bagi setiap kategori akan menerima wang tunai RM8,000 dan trofi, tempat kedua wang tunai RM5,000 dan trofi, dan tempat ketiga, RM3,000 dan trofi. Terdapat juga hadiah istimewa dan sagu hati.
“Pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai di Sabah yang mempunyai minat mencipta video pendek kreatif untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka.
“Dengan tema ‘Kita Orang Sabah’, video pendek ini boleh berkisar mengenai tradisi dan budaya orang Sabah, kekayaan alam semula jadi di Sabah di samping pencapaian orang Sabah atau mana-mana keadaan yang mempamerkan keindahan Sabah.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua penduduk di Sabah,” katanya.
Tempoh pertandingan adalah tiga bulan bermula 9 September dan tarikh tutup adalah pada 8 Disember. Turut hadir Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri
Masidi Manjun, Naib-naib Presiden - Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Datuk Rubin Balang dan Datuk Masiung Banah serta pemimpin negeri yang lain.
Kemudian, Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi nombor telefon bimbit: 017-8200232 atau e-mel kepada vcc.pgrs2023@gmail.com.