Kota Kinabalu: Dua beradik maut dalam kebakaran yang memusnahkan enam rumah di Kampung Pulutan, Manggatal, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, Khamis.
Mereka dikenali sebagai Jackron Jabri, 6, dan Jayraiyen Jabri, 5.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Agustavia Joe Guasi, kedua-dua mayat kanak-kanak itu ditemukan di ruang tamu rumah berkenaan.
Menurut Agustavia, hanya dua beradik itu berada di rumah ketika kejadian.
“Ibu mereka keluar bekerja dan bapa telah menghantar sepupu mereka ke hospital untuk pemeriksaan. Adik beradik mereka yang lain masih bersekolah.
“Jackron baru pulang dari prasekolah dan Jayraiyen bersendirian di rumah sebelum itu,” katanya.
Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sabah melaporkan 34 pegawai dan anggota balai Lintas dan Kota Kinabalu dikerahkan sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.13 tengah hari.
“Kebakaran melibatkan struktur sementara iaitu empat rumah berukuran 25x30 kaki, 25x40 kaki dan 25x60 kaki.
“Pemadaman menggunakan dua aliran yang bersumberkan jentera bomba. Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap itu.
Kebakaran dapat dikawal pada jam 2.53 petang dan ditamatkan pada jam 5.25 petang. Siasatan diteruskan untuk menentukan punca kebakaran dan anggaran kerugian.