Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri mengenal pasti Pantai Timur Sabah sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu kerana kedudukannya yang hampir dengan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur (EAGA) yang lain, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Agensi negeri seperti POIC Sabah Sdn Bhd telah meletakkan taman perindustriannya dan pelabuhan di Lahad Datu sebagai hab logistik untuk BIMP- EAGA.
“Rancangan juga disediakan untuk membina akademi maritim bagi menyokong ekonomi EAGA yang bergantung kepada maritim dan hab pengangkutan marin untuk meningkatkan keterhubungan antara EAGA,” katanya pada majlis makan malam alu-aluan dan perasmian rasmi Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE2023) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam Khamis lepas.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun. Hajiji mengulangi bahawa menjadi sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Sabah berada di lokasi yang strategik.
“Memandangkan BIMP-EAGA bersiap sedia untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-30 tahun depan, kita harus mengambil kira potensinya. Data pada BIMP EAGA menawarkan banyak peluang.
“Terdapat banyak potensi dalam kerjasama rentas sempadan dalam sektor yang diperuntukkan seperti pengangkutan; tenaga dan sambungan tenaga elektrik; perdagangan dan pelaburan; maklumat dan teknologi komunikasi; agroindustri dan perikanan; pelancongan; persekitaran dan sosiobudaya dan pendidikan.
“Kecuali Brunei, anggota EAGA lain berada jauh dari ibu kota mereka di Jakarta dan Manila.
Justeru, Sabah adalah ideal sebagai pintu masuk perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Ketua Menteri berkata penubuhan ibu negara baru Indonesia, Nusantara, di Kalimantan Timur akan menambah keunggulan Sabah.
“Kebanjiran orang dan perusahaan ke Borneo akan memangkin pertumbuhan ekonomi. Kerajaan Negeri percaya pelabur domestik dan antarabangsa boleh memanfaatkan sub- rantau dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan semakin berkembang,” katanya.
Hajiji juga berkata Sabah yakin akan mendapat lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dan melonjak lebih jauh melebihi pelaburan RM9 bilion yang telah diluluskan pada separuh pertama tahun ini.
“Tahun lalu, perdagangan Sabah mencecah rekod tertinggi RM118.1 bilion berbanding RM87.2 bilion pada tahun 2021. Kami pastinya ingin melihat lebih ramai pelabur datang ke Sabah untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa berpandukan pelan hala tuju pembangunan, Hala Tuju Sabah Maju Jaya, komitmen Sabah terhadap pertumbuhan tidak berbelah bahagi, dan ia akan terus mendorong agenda pembangunannya berdasarkan tiga tonggak pertumbuhan Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan dan memberi penekanan kepada pelaburan dalam kalangan rakyat, meningkatkan kesalinghubungan dan kelestarian hijau.
Antara yang menghadiri majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Phoong Jin Zhe.