Kota Kinabalu: Tiga lelaki warga Sarawak didakwa secara tentatif di Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan mengedar 52 kilogram syabu, awal tahun ini.
Lee Kee Yoong, 26, Lee Kee Sing, 38, dan Louis Hew Kong, 38, yang dibawa ke hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali, dituduh bersama mengedar dadah itu dengan berat kasar 52,250 gram pada 12.55 tengah hari 7 Sept lepas tempat letak kereta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka, selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan ahli kimia dan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana pertuduhan terhadap mereka tidak mempunyai peruntukan jaminan.
Wan Farrah menetapkan 31 Okt untuk sebutan semula dan memerintahkan tertuduh ditahan reman lanjut.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Navind Kumar Vijayan sementara tiga tertuduh diwakili peguam PJ Perira.
Dilaporkan pada 12 Sept bahawa polis Sabah menumpaskan sindiket pengedaran dadah, dengan rampasan 50.25kg syabu bernilai sekurang-kurangnya RM3 juta – rampasan terbesar tahun ini – dan tangkapan tiga warga Sarawak, pada 7 Sept.
Sementara itu, dua lelaki, yang didakwa memandu kereta masing-masing secara berbahaya, dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Majistret Stephanie Sherron Abbie melepas dan membebaskan Nur Faizullah Abd Rahim dan Mohd Nur-Albaraq Darussalam, kedua-duanya berusia 32 tahun, daripada pertuduhan tanpa meminta tertuduh membela diri.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap dua tertuduh dan oleh itu kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” kata Stephanie, yang turut mengarahkan wang jaminan mereka dikembalikan.
Nur Faizullah dan Mohd Nur-Albaraq didakwa melakukan kesalahan itu pada 1.25 pagi 23 Jun 2019 di sepanjang jalan Penampang Bypass di hadapan pusat beli-belah ITCC di Penampang.
Mereka pada 22 Sept 2020 meminta dibicarakan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, serta denda antara RM5,000 dan RM15,000 jika sabit kesalahan.
Nur Faizullah dan Mohd Nur-Albaraq masing-masing diwakili peguam Faezah Abby Ibnu dan Chris Thian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Trafik Mohd Firdaus Che Mustafa.