Kota Kinabalu: Lima nelayan warga Filipina yang memiliki 10 jenis ikan yang dibom, masing-masing dipenjara setahun.
Mereka ialah Armari Jinani, 40, Oppong Ali Osman, 44, Delmi Jinanim, 42, Mohd Nasir Elding, 39, dan Mali Armari, 25.
Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, atas pertuduhan terhadap mereka.
Warga Filipina itu didapati memiliki ikan yang ditangkap dengan menggunakan bahan letupan di sebuah bot pada 6 petang 23 Julai tahun ini, di kawasan perairan South Hill Rock di Pulau Manukan, di sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 , atau hukuman penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, kesemua warga Filipina itu meminta hukuman ringan dan dihantar pulang ke tempat asal mereka secepat mungkin.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa William Apin dari Jabatan Perikanan menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan kerana aktiviti pengeboman ikan boleh menjejaskan habitat dan ekosistem laut.
Selepas hukuman penjara mereka selesai, semua warga Filipina itu diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang.
Mahkamah juga memerintahkan bot dan semua peralatan yang dirampas dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.