Kota Kinabalu: Piala Triatlon Asia akan kembali ke Sabah selepas 22 tahun, pada 11 November.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew dalam satu sidang media yang diadakan di pejabatnya pada Isnin menyatakan rasa terujanya apabila bandaraya Kota Kinabalu menjadi tuan rumah acara berprestij itu.
“Kembalinya Piala Triatlon Asia selepas 22 tahun ke Sabah adalah bukti rantau ini semakin terkenal dalam dunia triatlon dan pelancongan sukan.
“Dengan landskap semula jadi yang menakjubkan dan layanan mesra, Sabah bersedia untuk sekali lagi meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dilupakan dalam komuniti triatlon global.
“Ia bukan sahaja menonjolkan keunggulan rantau ini yang semakin meningkat dalam bidang pelancongan sukan tetapi juga mempamerkan keupayaan bandar ini untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa sebesar ini,” katanya.
Kali terakhir Sabah menjadi tuan rumah Piala Triatlon Asia ialah semasa Kejohanan Triatlon Konfederasi Triatlon Asia (ASTC) pada tahun 2001.
Kira-kira 120 atlet elit dijangka akan menyertai kategori terbuka tahun ini dengan 1,000 lagi mengambil bahagian dalam kategori lain.
Liew berharap dapat menarik atlet berbakat dari seluruh Asia dan dari luar dengan menawarkan mereka pengalaman pertandingan yang mencabar dan menggembirakan.
“Kepulangan yang tidak dapat dilupakan ini menunjukkan komitmen berterusan Sabah terhadap sukan triatlon dan kedudukannya sebagai destinasi sukan utama di rantau ini,” tambahnya.
Acara anjuran XMultisport Event itu dijadualkan berlangsung di Prince Philip Park, Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Presiden Persatuan Triatlon Malaysia, Tony Tan Beng Hong yang hadir berkata XMultisport Event diberi tugas untuk menganjurkan acara itu kerana kejayaan mereka menganjurkan Triatlon Labuan tahun lepas.
“Kami mempunyai keyakinan penuh untuk melantik XMultisport Event bagi menganjurkan Piala Triatlon Asia yang disokong oleh Triatlon Dunia.
“Apa yang menjadikan acara ini lebih istimewa ialah hubungan antara KKCity XMultisport Challenge dan Piala Triatlon Asia.
“Setiap peserta dalam Triatlon KKCity XMultisport Challenge secara automatik akan layak ke Piala Triatlon Asia, mewujudkan penghubung yang menarik antara komuniti triatlon tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Duathlon KKCity XMultisport Challenge akan diadakan pada pagi berikutnya (12 November) diikuti dengan SESB Neon Night Run sejauh 3.5km pada sebelah malam.
Semua peserta yang berdaftar untuk sebarang acara dalam KKCity XMultisport 2023 juga layak memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai RM30,000 dan hadiah utamanya ialah Perodua Axia 2023 1.0 X (CVT) serba baharu.
Pendaftaran untuk semua perlumbaan masih dibuka sehingga 16 Oktober dan maklumat lanjut boleh diperolehi dengan log masuk ke www.
xmultisport.com.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Yusrie Abdullah, pengarah perlumbaan Auther J.Kimon dan pengarah acara Ahmad Syuaib Nasir.