Kota Kinabalu: Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Sabah Ke-2, atau Festival SILA 2023 ditutup penuh kemeriahan dan gilang-gemilang di Dewan Besar dan Auditorium Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, baru-baru ini.
Festival anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) dengan Kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (Motac) itu turut dibantu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, IPG Kampus Gaya, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan juga Komunitas Puisi Esei Asean.
Presiden Bahasa Datuk Jasni Matlani berkata, penutupan festival itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah, Datuk Harun Durabi.
Harun dalam ucapannya berkata, festival yang turut disertai tokoh penulis antarabangsa itu wajar menjadi acara tahunan di Sabah supaya negeri ini boleh menjadi dataran sastera yang penting di rantau ini.
“Penglibatan ramai tokoh penulis dan ahli akademik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta kehadiran ramai generasi muda yang memenuhi dewan semasa perasmian itu amat baik sekali.
“Malah ia memberikan petanda positif kepada perkembangan sastera negeri Sabah dalam tempoh beberapa dekad mendatang,” katanya.
Sebuah buku antologi puisi yang berjudul “Iltizam Seorang Pemimpin : Datuk Harun Durabi Citra Dalam Puisi”, yang penerbitannya diusahakan oleh Bahasa, turut dilancarkan oleh beliau sendiri di majlis itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Jasni yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia berkata, Festival SILA itu amat siginifikan dalam usaha pelbagai pihak melestari sastera dan budaya ke tahap yang lebih tinggi di negeri ini.
Katanya, festival itu turut diisi dengan program sasterawan bersama siswa, seminar pembentangan kertas kerja, forum, persembahan teater, acara baca puisi serta persembahan lagu puisi yang mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan anak muda yang memenuhi Dewan Besar IPG Kampus Gaya, sepanjang program itu berlangsung.
Jasni berharap festival itu akan terus diadakan pada masa akan datang dengan iltizam untuk menyemarakkan kegiatan sastera dan membantu Sabah untuk menjadi hab sastera Asia Tenggara.
Turut hadir di majlis itu, Hakim Kanan Jusa C Mahkamah Perindustrian Sabah, Datuk Indra Ayub; Pengarah DBP Sabah Aminah Awang Basar; Pengarah IPG Kampus Gaya, Dr Gertrude Jock dan Pengerusi Pelaksana Festival SILA 2023, Hasmin Azroy Abdullah.