SANDAKAN: Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Polis Diraja Malaysia (PDRM melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Veterinar menumpaskan sindiket penyeludupan barangan makanan sejuk beku yang diragui status halal bernilai RM2.72 juta di sebuah premis di Perindustrian Ringan BDC Sandakan, pada Rabu.
Rampasan terbesar tahun ini tersebut dilakukan selepas risikan dijalankan oleh pihak berkuasa.
Timbalan Pengarah (Gerakan) KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Hishamudin Tahar berkata, seramai sembilan individu terdiri daripada lima lelaki tempatan dan empat lelaki asing diperiksa dalam serbuan itu.
"Dalam pada itu, pihak kami juga merampas 9,782 kotak mengandungi pelbagai bahagian ayam seperti sayap, paha dan dada yang dipercayai diimport dari loji yang tidak diiktiraf dan tiada sijil halal iaitu dari China, Australia, Denmark dan Poland," katanya.