BEAUFORT: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam menyambut baik usaha kerajaan negeri yang akan membentangkan program Sabah Rumah Keduaku (SMM2H) di Dewan Undangan Negeri (Dun).
Beliau turut menyifatkan inisiatif itu langkah tepat kerana SMM2H yang telah disemak semula itu dapat meningkatkan ekonomi dan pembangunan di Sabah menerusi pelbagai kepakaran ekspariat program itu.
“Sebagaimana telah saya nyatakan dalam kenyataan sebelum ini bahawa manfaat daripada program ini besar kerana pemegang visa SMM2H ini terdiri daripada kalangan profesional dari pelbagai sektor ekonomi yang secara langsung dapat merancak ekonomi setempat.
“Pada masa sama, SMM2H turut akan menyumbang kepada pendapatan Sabah, justeru saya sambut baik usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang emahami peluang daripada program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, di sini, Rabu.
Dilaporkan, Hajiji pada Selasa, baru-baru ini memaklumkan program SMM2H yang disemak semula akan dibentangkan di DUN tidak lama lagi.
Beliau berkata, program SMM2H telah diperhalusi untuk menjadikan Sabah menarik kepada warga asing yang ingin berpindah ke wilayah ini.
Ruslan berkata, data Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunjukkan MM2H berupaya merangsangkan ekonomi negara dengan pendapatan nilai tambah kasar terkumpul berjumlah RM11.89 bilion sejak 2002 hingga 2019.
Menurutnya, rangsangan ekonomi itu diperolehi melalui fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan bulanan isi rumah.
Katanya, berdasarkan data kolektif pada 2017 oleh Tourism Management, pemegang visa MM2H berumur 60 hingga 69 tahun khususnya dari Jepun, United Kingdom dan Australia, telah menetap di pelbagai lokasi di Malaysia selama 10 hingga 12 bulan.
“Mereka telah membelanjakan purata RM6,030 sebulan, menyumbang RM1.68 bilion setahun kepada ekonomi negara.
“Justeru, SMM2H akan menjadi antara suntikan ekonomi kepada Sabah di bawah agenda Sabah Maju Jaya,” katanya.