KOTA KINABALU: Orang ramai terutamanya golongan muda belia di seluruh Sabah dijemput memeriahkan Tadau Sukod Wagu (Hari Belia) anjuran Majlis Belia KDCA (KYC) pada 7 hingga 8 Oktober nanti, di Pentas Dewan Terbuka KDCA.
Program yang julung kali diadakan ini bertujuan mengumpulkan seberapa ramai anak muda dalam kalangan Bumiputera Sabah.
Pengerusi KYC Steve Johnny Mositun berkata, sepanjang sambutan besar-besaran itu, selain dapat menikmati pelbagai jualan daripada gerai-gerai jualan, masyarakat juga berpeluang menyaksikan dan menyertai beberapa pertandingan yang diadakan.
Antara pengisian program ialah kempen menderma darah yang diadakan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan dan kebaikan menderma darah.
"Program itu juga menawarkan pertandingan ‘Mainan Dulu-Dulu’ dan ‘Sukan Orang Kita’ bagi menanam semula minat terhadap sukan dan permainan tradisi dulu-dulu dalam kalangan belia," katanya.
Turut diadakan ialah pertandingan tarian KYC Talent Dance Show dan pertandingan Cosplay.
Selain itu, pada malam 7 Oktober, ramai artis tempatan akan membuat persembahan menerusi acara Malam Pesta Muda-Mudi, di Pentas Dewan Terbuka KDCA.
Untuk maklumat lebih lanjut boleh melayari laman Facebook KDCA Youth Council.