BENTONG: Seramai 188,102 suri rumah telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sehingga 24 Sept lepas, kata Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi 166,666 suri rumah daripada keluarga B40 dengan bayaran carumannya dibiayai kerajaan manakala selebihnya iaitu 21,436, melibatkan permohonan caruman sukarela.
"Selain itu, mengikut pecahan negeri, seramai 6,636 pencarum SKSSR direkodkan di Pahang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (Hawa) di Felda Chemomoi, di sini hari ini.
Program berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Pengerusi Hawa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Menyentuh mengenai karnival kerjaya hari ini yang bertujuan untuk menurunkan kadar pengangguran, beliau berkata ia merupakan karnival ketiga selepas Pulau Pinang dan Selangor yang menyediakan sebanyak 1,168 peluang pekerjaan menerusi 18 majikan antaranya daripada sektor pembuatan, perkhidmatan, kewangan dan insurans.
"Pencari kerja terutama belia Felda berpeluang meninjau dan memilih untuk menghadiri temu duga dengan mana-mana majikan daripada pelbagai industri dan sektor yang ada. Program ini diteruskan dengan usaha libat urus bagi memperluaskan platform kepada masyarakat Felda untuk mendapatkan perkhidmatan kebolehpasaran, pemprofilan dan peningkatan kemahiran," katanya.
Sivakumar berkata kadar pengangguran mencatatkan pola mereda dan berada di tahap 3.4 peratus setakat Julai lepas, berbanding 3.7 peratus untuk tempoh sama tahun lepas.