TUARAN: Kerajaan Negeri akan memastikan masalah gangguan bekalan air dan elektrik yang dialami rakyat Sabah ketika ini dapat diselesaikan dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun dari sekarang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa langkah sudah diambil dan dilaksanakan untuk menambah kapasiti bekalan kedua-dua keperluan rakyat itu mulai sekarang.
Katanya, ia selaras komitmen Kerajaan Negeri meletakkan usaha mengatasi masalah bekalan air dan elektrik yang dihadapi rakyat negeri ini sebagai keutamaan ke arah mensejahterakan kehidupan rakyat.
"Inilah yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat dapat bekalan air dan elektrik yang menjadi masalah sekarang, dan kita akan pastikan kedua-dua masalah ini dapat diselesai sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi ke hadapan.
“Jika diurus dengan baik, insyaAlah kita boleh atasi kedua-dua isu ini yang menjadi kegusaran rakyat pada masa ini".
"Kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerana itu kita buat perancangan rapi dan tentukan bahawa projek pembangunan rakyat berjalan mengikut jadual dan dilaksanakan dengan baik," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman 2023 di Dewan Sri Sulaman, di sini, pada Ahad.