SIPITANG: Seorang lelaki berusia 66 tahun ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kuari 1, Kampung Melalia, di sini pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Calvin Joe Jeafery yang mengesahkan kejadian itu pada Sabtu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.39 malam dan mengerahkan pasukan ke lokasi yang terletak sejauh 13 kilometer.
“Sebuah rumah jenis tidak kekal musnah terbakar dan mayat mangsa ditemui di bahagian dapur,” katanya.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala punca dan kerugian kebakaran masih disiasat.