Kota Kinabalu: Pelantikan pentadbiran wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai ahli lembaga dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sejak 2022 hingga kini, akan dibuat sebagai anggota tetap menerusi pembentangan rang undang-undang di Parlimen bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata hasrat tersebut akan dicapai melalui pembentangan Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 [RUU LHDNM (Pindaan) 2023] yang akan dibentangkan dalam mesyuarat ketiga persidangan Parlimen ke-15 dari 9 Oktober hingga 30 November tahun ini.
Beliau berkata pembentangan rang undang-undang itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 5 Jun 2023 yang memperakui syor Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63) yang bermesyuarat pada 19 Januari, 2023 di Kuching, Sarawak.
Beliau menambah mesyuarat MTP-MA63 itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Syor untuk mempunyai ahli lembaga tetap dari Sabah dan Sarawak dalam lembaga LHDN dibangkitkan buat pertama kali dalam Mesyuarat Majlis Khas MA63 pada 18 Oktober 2021, yang merupakan platform perundingan rasmi bagi pelaksanaan MA63 oleh kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Syor ini dibangkitkan atas dasar mengembalikan kedudukan asal perwakilan kedua-dua negeri ini dalam institusi itu sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963.
“Tuntutan ini juga selaras dengan peruntukan berkenaan percukaian seperti yang terkandung dalam subperenggan 24(1) Peruntukan Kewangan di bawah Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) pada 1962, di bawah MA63,” katanya.
Armizan berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ceramah khas mengenai MA63 menerusi ‘Wacana Madani MA63: Aspirasi Ke-60 tahun bagi Sabah’ di Menara Kinabalu di sini pada Isnin.
Menurutnya, keahlian wakil dari Negeri Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Cukai Pendapatan Malaysia telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan pada 1967 sebagai pelantikan terakhir, ketika itu.
“Pelaksanaan ketika itu adalah berdasarkan peruntukan dalam undang-undang melalui Perintah 1964 berdasarkan Ordinan Cukai Pendapatan 1947 Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Ordinan Cukai Pendapatan 1956 Sabah serta Ordinan Hasil Dalam Negeri 1960 Sarawak.
“Bagaimanapun, peruntukan berhubung keanggotaan wakil negeri Sabah dan Sarawak telah dihentikan apabila Lembaga Cukai Pendapatan Malaysia dan tiga undang-undang berkaitan dimansuhkan selepas semua perkara berkaitan cukai pendapatan dikawal oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri Malaysia bermula pada 1967. Fungsi ini kemudian diteruskan oleh LHDN yang ditubuhkan pada 1996 di bawah Akta 533,” katanya.
Armizan berkata cadangan pindaan Akta 533, LHDN yang memperuntukkan keahlian tetap wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk melaksanakan isu-isu yang belum selesai berkaitan MA63 dan dengan itu menghormati dan mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
“Kita mahu pelantikan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dikembalikan kepada asal supaya kita ada wakil rakyat.
“Apabila kita mempunyai wakil masing-masing dalam Lembaga LHDN, barulah kita tahu hasil rasmi negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan menasihatkan orang ramai termasuk pemimpin pembangkang dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar lebih bertanggungjawab dan paling penting mestilah berdasarkan fakta dan data yang tepat terutamanya berdasarkan rujukan Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Ini penting kerana jika berlaku polemik antara mereka, maka kita menunjukkan bahawa kita tidak bersatu (dalam menyelesaikan isu) kepada pihak yang kita tuntut.
“Oleh itu, tuntutan dan saranan kami mungkin tidak diambil kira kerana wujud persepsi bahawa tuntutan itu datang daripada pihak tertentu di Sabah, dan bukannya konsensus seluruh masyarakat dan pemimpin di Sabah,” katanya.